''… adik satu-satunya
anak perempuan yang umi ada…''
Kata – kata itu selalu bermain di fikiran setiap detik
terkenangkan arwah umi yang telah lama pergi meninggalkan aku. Tapi, sehingga
hari ini aku masih merasakan umi setia menungguku di hadapan pintu setiap kali
aku dapat pulang bercuti. Umi adalah kakak sulung kepada ibu kandungku.
Walaupun dia hanya seorang ibu saudara, kasih sayang dia pada aku tak pernah
berbeza dengan anak kandung dia sendiri malah berlebih. Aku sedar aku sangat
dimanjakan oleh abah dan umi. Segala apa kemahuanku dipenuhi selagi terdaya.
Allahu. Terlalu banyak aku menyusahkan orang.
Terlalu banyak untuk diluahkan. Rasa sedih itu terasa
sehingga detik ini dimana hari terakhir umi berada di dunia.
19 Oktober 2013 –
SM Teknik Kuantan.
Susah betul nak pejamkan mata malam ni. Rasa seperti ada
sesuatu. Tapi aku abaikan dan terus pejamkan mata kerana esok ada kelas. Hampir
– hampir aku terlena, warden asrama datang jumpa aku dan minta aku bersabar
kerana dia telah mendapat panggilan telefon dari ibuku yang mengatakan mak cikku
telah meninggal dunia. Pada mulanya, aku tidak mengerti kerana separa sedar
tapi abila aku termenung semula, baru aku sedar yang umiku telah tiada dan
tidak semena – mena aku mengalirkan air mata yang tiada henti. Lantas aku
segera siap dan pulang ke kampung halamanku, Felda Lurah Bilut.
Subuh - Felda
Lurah Bilut.
Aku selamat sampai di kampung dimana aku perlu kuat untuk
hadapi realiti yang beribu kali cuba untu dinafi.
Wajah itu, sangat aku kenali dan terlalu aku sayangi. Ku cium
lalu ku peluk sepenuh hati.
Tubuh kaku itu, dahulunya memelukku dengan penuh erat dan
kasih sayang tetapi kini kaku terbaring di situ. Tiada lagi pelukan itu. Tiada
lagi bayang – bayang mengikutinya.
Tangan itu, tiada terbuka lagi untuk menerima pelukanku.
Tangan itu tidak akan menyuapkan makanan ke mulutku lagi dan tangan itu tidak
akan pernah menyentuh pipiku apatah lagi mengusap tangisku.
Aku menatap sayu wajah itu. Ada garis senyuman di akhir
kehidupanmu wahai umi. Semoga syurga milik umi. Luruh hatiku disaat itu.
Kesedihan yang terlampau sehingga tiada kata – kata yang terpacul dari mulutku.
Suasana hari itu hening
sekali. Aku seperti bermimpi yang tiada terjaga. Semuanya diam. Bisu. Kicauan
burung tidak lagi merdu. Aku hanya mampu duduk di sisi umi sambil sedekahkan
segala yang aku mampu untuknya. Tidak tahu untuk kali ke berapa harus aku ulang
bacaan ayat suci itu sehingga akhirnya aku terlena di sisi umi tanpa
menghiraukan yang lainnya. Tiba – tiba aku terjaga apabila ibuku mengejutku
agar aku melepaskan pelukanku terhadap umi kerana yang lainnya mahu
menyempurnakan fardhu kifayah itu. Mulai saat itu aku sedar bahawa semua ini
bukanlah mimpi tetapi realiti yang telah terjadi. Allahu Akbar. Tabahkan aku ya
Allah.
Kata abah, umi ada meminta agar menyegerakan segalanya dan
alhamdulillah kerana semuanya berjalan lancar. Semuanya selesai sebelum solat
zohor seperti yang diminta.
Hari ini – Bentong.
Untuk kesekian kali aku mengadu pada Dia yang maha
mengetahui isi hati ini. Rindu yang begitu utuh tidak terungkap lagi. Kini,
abah menetap bersama along. Abah begitu kesepian tanpa kehadiran umi untuk
mewarnai hari – harinya.
Umi, terima kasih kerana selalu datang menemani adik. Adik gembira
sangat melihat keadaan umi setiap kali umi datang tengok adik. Sentiasa senyum.
Umi, kalaulah umi masih di sini bersama keluarga kita yang
lain, adik nak sangat tahu apa yang umi akan cakap kat adik. Adik ada banyak
sangat cerita nak share dengan umi.
Umi, tunggu adik kat sana okay??
Umi, adik rindukan umi. Sangat – sangat!!
Umi,
Senyummu indah sekali
Tetapi sayangnya, sudah lama tiada ku lihat.
Umi,
Kasihmu kepadaku tiada bertepi
Dari dahulu sehingga kini
Begitu juga rasa sayangku kepadamu
Tiada yang berubah sekalipun air bah mahupun pantai berubah.
Umi,
Rasaku kini adalah merinduimu
Setiap saat dan detik dapat ku rasakan hadirmu bersamaku
Menemaniku selalu.
Semoga syurga milikmu,
Wahai isteri solehah, ibu mithali.
Pengorbananmu kan ku bawa hingga mati.
Sekian saja warkah buatmu yang telah tiada.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah
Salmiah binti Adi. Alfatihah.
Love,
Aisyah.